Assalamualaikum WBT,
Belumpun seminggu Pilihanraya Umum Malaysia ke-12 berlalu, laungan kekecohan dan kelantangan sudah mula diperdengarkan oleh orang Melayu bagi menyatakan ketidakpuasan hati tentang hal-hal yang selama ini diambil mudah oleh bangsaku sendiri. Maklumlah, selama ini perkara-perkara seperti kedudukan Raja-Raja dan hak keistimewaan orang Melayu seperti yang kita perolehi melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) misalannya, selalu benar di ambil enteng dan diselinapkan jauh di sudut paling dalam kotak pemikiran kita. Kenapa agaknya kita suka bersikap lewa sebegini? Mungkin kerana kita merasakan diri terlalu selesa kerana sentiasa menyangkakan hak dan keistimewaan yang kita kecapi selama ini akan terus-menerus berada di sisi.
Ianya boleh diperumpamakan seperti cara orang Melayu melintas jalan. Lihat sahajalah bagaimana bangsa kita melintas, tidak pernah rasa tergugat langsung tentang keselamatan diri, selagi boleh diredah, akan diredah dan selagi boleh di lenggokkan punggung, pasti akan dilenggokkannya tanpa mempedulikan kenderaan yang mendatang. Sungguh berkeyakinan orang kita melintas kerana terlalu mempercayai bahawa kenderaan-kenderaan itu tentu tidak akan melanggar mereka. Sikap kita sebenarnya sama sahaja. Berilah situasi apa pun, ianya akan sama sahaja selagi kita tidak membuka pintu hati.
Jadi apabila Ketua Menteri Pulau Pinang mengumumkan akan menarik balik DEB dari pegangan orang Melayu di Pulau Pinang kurang 3 hari selepas DAP menerajui kerajaan Pulau Mutiara itu, maka naik anginlah Melayu-Melayu di sana. Perarakan yang berlangsung di Komtar semalam sedikit-sebanyak memperlihatkan bahawa orang Melayu sudah mula membuka mata hati dalam memahami muslihat yang mula diperlihatkan satu persatu oleh DAP yang sebenarnya tidak pernah dan tidak mungkin akan memperjuangkan untung nasib bangsa Melayu itu.
Di atas perkembangan ini, diriku menadah tangan tanda bersyukur kerana masih boleh menaruh harapan kepada bangsa sendiri untuk mempertahankan maruah bangsa. Semoga Melayu tidak akan mudah lupa lagi.
Beralih pula kita ke Perak di mana penasihat DAP secara terang-terangan cuba mengelakkan parti tersebut daripada bertanggungjawab terhadap janji palsu yang telah ditabur oleh mereka kepada pengundi berbangsa Cina di Perak tentang pendirian DAP yang kononnya tidak akan bersekongkol dengan parti yang memperjuangkan agama Islam iaitu PAS, di mana akhirnya mereka telah memungkiri janji tersebut dengan menandatangani perjanjian bagi menyokong sesiapa sahaja yang dipilih sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak termasuklah wakil dari PAS. Jadi apabila Sultan Perak telah berkenan memilih wakil PAS sebagai Menteri Besar, terus sahaja satu kenyataan bahawa DAP akan memulaukan Majlis Angkat Sumpah Perlantikan telah dikeluarkan oleh si penasihat itu. Biadap sungguh. Taktik ini di ambil untuk melepaskan tanggungjawab DAP terhadap impak keputusan tersebut kepada Sultan Perak. Mereka ingat orang Melayu buta hati agaknya. Jangan ingat senang-senang sahaja ketuanan orang Melayu yang telah dilambangkan melalui kedudukan Raja-Raja di Malaysia ini akan begitu mudah diperkotak-katikkan. Hey, bukanlah semudah itu bagi kamu untuk menjahanamkan bangsaku!
Ingatlah kepada baris kedua Rukun Negara kita: KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA. Teruskan kesetiaan kita jika kita tidak mahu melihat jejak kita terhapus di bumi bertuah ini.
Hidup Melayu!
*TUN TEJA*
Saturday, March 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment