Assalamualaikum WBT,
Coretan yang bakal kusampaikan ini tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan martabat bangsaku sendiri, tetapi hanya sekadar perangsang minda bagi memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang asal usul perangai bangsaku yang sering kali dikaitkan dengan sikap negatif dan buruk ini.
Sebelum ku bercerita dengan lebih lanjut tentang perihal sikap bangsaku, adalah perlu bagiku menerangkan tentang keadaan muka bumi Tanah Melayu yang serba-sedikit telah mempengaruhi corak kehidupan orang Melayu.
Semenanjung Tanah Melayu terdiri daripada kawasan bergunung-ganang yang menjadi tulang belakang kepada seluruh semenanjung. Hutan-hutan dan tanah landai yang mengelilingi sungai-sungai yang melata di kawasan ini telah dijadikan sebagai kawasan penempatan kepada bangsa Melayu yang datang dari Jawa dan Sumatera. Kawasan di tepi laut pula dikembangkan dan menjadi pekan dan kota yang menempatkan institusi di-Raja, tempat pentadbiran dan juga perdagangan.
Memandangkan Tanah Melayu mempunyai tanah yang subur, maka orang Melayu yang membuat penempatan di pinggir sungai bisa meneruskan kehidupan dengan bercucuk tanam serta menjadi pesawah dan nelayan. Disebabkan bilangan mereka pada ketika itu masih tidak ramai, maka setiap keluarga mampu menyara kehidupan semua ahli keluarganya. Tanah yang luas telah dimanfaatkan oleh semua terutamanya di dalam kegiatan menanam padi. Oleh kerana bahan makanan mudah diperolehi oleh semua, maka tidak timbul soal persaingan sesama mereka kerana jika ada pun kelompok yang lemah diantara mereka, golongan ini masih mampu untuk meneruskan kehidupan kerana dibantu oleh yang lain. Orang Melayu pada zaman ini tidak pernah diajar untuk bersaing bagi meneruskan kehidupan kerana segala-galanya mencukupi (tidak pernah wujud istilah 'survival of the fittest' dalam kamus hidup mereka) maka tiada yang bercita-cita besar untuk memajukan diri dan persekitaran.
Kegiatan penanaman padi merupakan satu pekerjaan yang dominan di kalangan orang Melayu ketika itu dan disebabkan kegiatan ini memakan masa lebih kurang 2 bulan sahaja untuk meraih hasil yang boleh disimpan untuk setahun, maka orang Melayu mempunyai begitu banyak masa lapang yang selalu dihabiskan dengan berehat ataupun berbual-bual dengan jiran tetangga. Ini merupakan permulaan sikap orang Melayu sekarang yang kebanyakannya tidak bijak menggunakan masa mereka untuk melakukan perkara yang positif dan berfaedah.
Sikap orang Melayu yang suka mengahwinkan anak-anak mereka dengan saudara dekat (contohnya berkahwin sesama sepupu) telah menyebabkan baka mereka tidak berkembang dan segala sifat negatif yang terdapat diantara saudara terdekat ini akan diturunkan pula kepada bakal anak-anak mereka. Begitulah seterusnya. Perkara ini tidak membantu pengembangan generasi Melayu yang mempunyai ciri-ciri positif kerana masih dikekang oleh gen-gen resesif yang merencatkan pertumbuhan sifat positif yang ada.
Sikap orang Melayu yang pantang melihat anak mereka tidak berkahwin juga telah melahirkan budaya 'walau apapun yang terjadi,semuanya mesti berkahwin'. Sikap ini telah menyebabkan mereka yang kurang sempurna dari segi mental dan fizikal juga akan dikahwinkan dimana golongan ini akan melahirkan generasi Melayu yang berkemungkinan besar kurang sempurna juga. Satu lagi sikap orang Melayu yang negatif adalah mengahwinkan anak mereka di usia yang muda ketika pemikiran mereka masih belum berkembang. Anak-anak yang dilahirkan oleh pasangan muda ini mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk tidak dijaga dengan sempurna. Sikap-sikap ini telah memberi kesan yang besar kepada penurunan sifat-sifat positif dan negatif daripada satu generasi ke satu generasi bangsa Melayu di Tanah Melayu ini.
Disebabkan faktor-faktor ini maka sedikit-sebanyak perangai dan sifat nenek moyang kita yang terdahulu telah diturunkan kepada generasi Melayu sekarang walaupun ianya telah berlaku beratus tahun yang lalu kerana faktor keturunan dan persekitaran memang tidak dapat dipisahkan dalam pembentukan sesebuah bangsa.
Walaubagaimanapun, sikap dan sifat negatif yang diturunkan kepada kita haruslah dibuang bagi memastikan 'survival' bangsa kita di bumi bertuah ini dapat dipertahankan kerana di dalam konteks kehidupan sekarang, hanya yang kuat sahaja mampu meneruskan kehidupan. Janganlah sampai Melayu hilang di dunia ini.
Hidup Melayu!
*TUN TEJA*
(Kredit kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad: The Malay Dilemma)
Tuesday, March 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment